Pages

Monday 9 January 2012

Permainan Dulukala

 
 Baling Selipar Atau Tuju Kasut.

Permainan ini merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu yang semakin dilupakan oleh generasi muda. Permainan ini mempunyai banyak nama iaitu baling selipar bagi kebanyakkan tempat, tuju kasut bagi panggilan dikawasan sebelah utara dan  terdapat juga yang memanggilnya sebagai permainan  bola kaki tiga.

Permainan ini dimainkan dalam dua kumpulan. Kumpulan yang pertama atau kumpulan A dan kumpulan kedua atau kumpulan B. alatan yang digunakan semasa permainan perlulah sekurang-kurangnya tiga buah selipar untuk didirikan secara menegak manakala sebuah selipar lagi digunakan untuk menyerang pihak lawan. Permainan ini boleh dimainkan tanpa mengira usia dan jantina.

Langkah pertama yang perlu dilakukan untuk bermain permainan ini ialah, kedua-dua pasukan perlu mempunyai pemain yang sama jumlahnya. Sebagai contoh, jika kumpulan A mempunyai 11 orang pemain maka kumpulan B yang berindak sebagai kumpulan lawan juga perlu mempunyai pemain yang sama banyak. Hal ini untuk memastikan permainan berlangsung secara adil.

Setelah itu, kedua-dua pasukan akan membuat undian untuk menentukan kumpulan mana yang berhak untuk memulakan permainan. Secara kebiasaannya, kumpulan yang memenangi undian akan memulakan perlawanan dengan membaling susunan tiga buah selipar yang didirikan secara menegak. Jika salah seorang berjaya menjatuhkan atau menyelerakkan binaan selipar tersebut maka permainan bermula. Walaubagaimanapun, jika kesemua pemain dari pasukan yang membaling selipar tidak berjaya menjatuhkan susunan binaan selipar tersebut ,maka kumpulan yang kedua akan terus menggantikan kumpulan pertama untuk memulakan permainan.

 Permainan akan bermula secara rasminya jika binaan selipar atau kasut yang dibaling oleh pemain mana-mana pasukan jatuh atau berselerak. Jika kumpulan A yang menjatuhkan selipar atau kasut tersebut, maka pasukan B akan bertindak membaling satu selipar yang digunakan khas untuk mematikan setiap pemain pihak lawan sehingga habis. Pasukan B hanya dibekalkan dengan satu selipar sahaj untuk dibaling kearah pihak lawan. Selain itu setiap ahli pasukan B tidak dibenarkan bergerak semasa mahu membuat balingan kearah pihak lawan.

Pihak lawan atau pasukan A pula akan cuba untuk membina semula binaan selipar dalam keadaan menegak seperti keadaan sebelumnya. Namun begitu, mereka perlu berhati-hati dan sentiasa mengelak daripada terkena selipar yang dibaling oleh pihak pasukan B. Jika terdapat pemain daripada pasukanA yang terkena selipar hasil daripada balingan daripada kumpulan B, maka dia sudah pun dianggap terkeluar daripada permainan.

Pemain daripada pasukan A perlu yang tinggal perlu terus cuba untuk membina semula selipar atau kasut yang telah berselerak. Jika kesemua ahli kumpulan A berjaya dimatikan dalam perlawanan maka perlawan itu berakhir dan tiada markah atau mata untuk pasukan tersebut. Walaubagaimanapun, jika mereka berjaya membina semula binaan selipar atau kasut  tersebut mereka akan berjaya memperoleh satu markah dan pasukan tersebut akan terus bermain untuk pusingan yang berikutnya.

Tempat untuk bermain permainan ini adalah tidak terhad. Permainan ini boleh dimainkan dkawasan lapang seperti kawasan padang namun untuk lebih mencabar permainan ini boleh dimainkan dikawasan-kawasan yang mempunyai halangan. Permainan ini juga boleh dimainkan dalam kawasan yang terhad seperti didalam dewan tetapi setiap ahli pasukan tidak perlulah terlalu banyak sehingga menimbulkan ketidak selesaan semasa bermain.  Manipulasi alatan juga boleh dilakukan, sebagai contoh, jika merasakan selipar atau kasut tidak sesuai digunakan untuk membaling kearah pihak lawan, maka peralatan lain seperti bola tampar atau bola tenis yang lebih ringan boleh digunakan untuk mengelak daripada berlakunya kecederaan. 

Permainan ini sememangnya menggunakan beberapa  pergerakkan asas seperti berlari, berjalan dan melompat untuk mengelak daripada terkena selipar yang dibaling oleh pihak lawan. Permainan ini juga bermanfaat dalam membentuk kerjasama sesama ahli kumpulan. Selain itu, permainan ringkas ini memerlukan ketangkasan, kecekapan dan koordinasi tubuh yang betul untuk memastikan kumpulan yang disertai boleh mendapat markah. Konklusinya, permainan tradisional ini sememangnya memberi banyak manfaat kepada sesiapa sahaja yang berani mencuba untuk bermainnya.


No comments:

Post a Comment