Konsep Hagemoni Barat
Dominasi Politik
Dewasa ini, masyarakat Asia
dan Islam khususnya berdepan dengan cabaran hegemoni politik Barat. Walaupun
kuasa penjajah terutamanya Barat telah lama meninggalkan tanah jajahan
masing-masing, dan memberikan penduduk tempatan peluang untuk membentuk
struktur pemerintahan mengikut acuan tempatan, keinginan untuk terus
mendominasi masih lagi tidak pudar. Struktur pentadbiran politik sesebuah
negara akan dijadikan sasaran utama untuk meneruskan dominasi mereka. Oleh itu
tidak hairanlah jika pada hari ini terdapat beberapa pemimpin yang mengetuai
pentadbiran nasional akan mengambil keputusan yang melebihkan Barat walaupun
bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat tempatan. Hal ini demikian kerana,
Barat akan cuba menampilkan pemimpin yang boleh dijadikan boneka mereka sebagai
pemimpin utama di sesebuah negara yang ingin dikuasai. Dengan adanya ‘orang
dalam’, maka survival dominasi politik mereka akan menjadi lebih mudah.
Pastinya, segala keputusan pemimpin tempatan adalah berdasarkan kepentingan
Barat di negara tersebut.
Selain
menguasai struktur pentadbiran di peringkat
tempatan, dunia Barat juga akan mendominasi pertubuhan-pertubuhan antarabangsa
di peringkat dunia. Contohnya, badan antarabangsa paling berpengaruh
diperingkat dunia, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
membuktikan dominasi beberapa kuasa Barat yang utama seperti Amerika Syarikat,
Britain dan Perancis. Bersama-sama dengan Rusia dan China, ketiga-tiga negara
ini diberikan kuasa istimewa yang juga dikenali kuasa veto. Berdasarkan kepada kuasa
yang ditetapkan, kelima-lima negara ini berhak untuk menolak sebarang resolusi
yang dicadangkan oleh negara-negara anggota. Pemberian kuasa ekslusif kepada
negara-negara yang berkenaan membuktikan dominasi kuasa Barat yang menguasai
badan dunia terbabit. Kesannya, beberapa keputusan yang diusulkan dan yang
telah diluluskan dilihat mempunyai kepentingan kepada negara-negara ini.
Walaupun
menurut kuasa yang diperuntukkan, iaitu untuk mengekalkan keamanan dan
keselamatan di negara-negara, beberapa keputusan yang dibuat oleh negara-negara
veto terutamanya negara Barat dilihat membelakangkan objektif dan matlamat badan dunia itu ditubuhkan. Buktinya hampir semua persengketaan wilayah dan
antarabangsa sama ada di Somalia, Bosnia-Herzegovina, Palestin, Kashmir, Iraq,
Afghanistan dan lain-lain melibatkan secara lansung kuasa Barat, Amerika
Syarikat terutamanya, dengan menggambarkan diri mereka sebagai ‘polis dunia’.
Realitinya, kedudukan Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa politik global
adalah disebabakan oleh kekuatan militari dan ketenteraan.
Dominasi Ekonomi
Semasa zaman kolonial, penjajah
Barat telah mengaut segala sumber, khazanah dan kekayaan tanah jajahannya.
Hakikatnya, keadaan ini masih lagi berlarutan walaupun dengan cara dominasi
yang berlainan. Syarikat-syarikat multinasional dari Barat seperti Amerika
Syarikat, Britain, dan negara-negara Eropah
telah mendominasi kegiatan perdagangan antarabangsa. Syarikat-syarikat
berkenaan telah mendominasi penggunaan sains dan teknologi sesebuah negara.
Tidak cukup sekadar itu, sistem kewangan antarabangsa pula dikawal oleh
sejumlah kecil syarikat-syarikat kewangan gergasi, sekumpulan bank,
pedagang-pedagang mata wang dan juga pengurus-pengurus dana pelaburan
spekulatif antarabangsa, yang secara tidak lansung meneruskan dominasi dunia Barat
ke atas bangsa-bangsa manusia yang lain. (Osman Bakar, 2009)
Disamping itu, pola dominasi ekonomi
yang sedemikian disokong oleh sejumlah pertubuhan-pertubuhan kewangan global
yang sekali gus memudahkan dominasi ekonomi oleh Barat. Antara contoh institusi-institusi
dunia yang terlibat ialah International Monetary Fund (IMF), Bank Dunia, Worl
Trade Organization (WTO) dan kumpulan G8. Kesemua institusi ini akan bertindak
untuk mencorakkan bentuk ekonomi yang akan memastikan kepentingan mereka dalam
aspek ini akan terpelihara. Contoh paling ketara yang menunjukkan dominasi barat ialah apabila negara miskin
yang meminjam daripada Bank Dunia atau IMF akan berada di bawah telunjuk atau
pengaruh negara kapitalis tersebut . Masyarakat manusia di negara-negara
membangun dan mundur tidak lebih sekadar memenuhi keperluan sumber tenaga
manusia untuk mencapai kepentingan mereka. Pada masa yang sama, sumber-sumber
semula jadi di negara-negara tersebut akan dimonopoli tanpa disedari. Keadaan
seperti ini merupakan suatu bentuk penjajahan baru yang terselindung di sebalik
gagasan perdagangan bebas.
Kesan dariapada dominasi yang kian
menjadi-jadi ini ialah sumber semula tidak dapat dieksploitasi sepenuhnya oleh
negara sendiri disebabkan oleh kekangan teknologi dan kepakaran. Lantaran itu,
bantuan daripada negara maju terutamanya negara Barat yang mempunyai kewangan,
pakar dan alatan pastinya diperlukan. Akibatnya, negara-negara Barat dapat
menguasai kekayaan semula jadi sesubuah negara seperti petroleum, bijih timah, dan
macam-macam lagi.
Dominasi Media
Ledakan
teknologi maklumat dewasa ini bukan lagi perkara yang baru. Segala maklumat
dari seluruh dunia dapat diakses walau di ceruk manapun seseorang itu berada.
Kini segalanya di hujung jari dan sekali gus mewujudkan istilah globalisasi.
Proses globalisasi ini sebenarnya telah berjaya mengecilkan dunia kerana
maklumat tentang peristiwa-peristiwa yang terjadi di seluruh dunia mudah diperoleh dan tersebar dengan cepat.
(Azhar Mad Aros, 2001). Namun begitu, proses globalisasi ini dilihat lebih
memihak kepada dunia Barat yang sekali gus akan mengancam nilai-nilai sesebuah
negara terutamanya bagi masyarakat Timur dan Asia.
Dominasi
media oleh Barat sebenarnya bermula dengan pemaparan berita antarabangsa
teknologi komunikasi dan maklumat yang dikuasai mereka. Mutakhir ini, media
cetak dan media elektronik yang semakin berpengaruh dikuasai oleh sekumpulan
syarikat-syarikat gergasi yang berpusat di Amerika Syarikat. Keadaan ini
tentunya memerlukan pemerhatian oleh masyarakat Timur dan Islam khususnya,
kerana penyebaran nilai-nilai yang negatif melalui media Barat dapat menjadi
barah dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana keupayaan media boleh
memanipulasi sesuatu perkara sehinggakan menjadi sesuatu yang tidak benar
menjadi benar.
Contoh
paling ketara sudah tentu melibatkan siri pengeboman dan letupan yang berlaku
di seluruh dunia. Paling menyakitkan, media barat secara terus-menerus
memomokkan mayarakat antarabangsa mengenai kaitan keganasan yang berlaku dengan
umat Islam. Hakikatnya peranan media barat yang begitu berpengaruh sehingga
telah berjaya mewujudkan fobia yang dikenali sebagai Islamfobia. Walaupun tanpa
bukti yang kukuh dan lengkap, umat Islam sewenang-wenangnya ditangkap tanpa
sebarang perbicaraan. Media barat yang dikuasai oleh golongan yang
berkepentingan telah menanamkan kebencian terhadap orang Islam tanpa
mengendahkan punca sebenar kejadian pengeboman berani mati seperti pembunuhan
rakyat Paletin oleh rejim zionis setiap hari.
Demikian juga pengeboman yang dilakukan keatas rakyat Afghanistan dan
Iraq oleh tentera Amerika Syarikat dianggap korban yang terpaksa ditanggung
atas nama hak asasi dan demokrasi.
Dominasi Sosial
Dekad
kebelakangan ini, dunia Barat terutamanya Barat telah membanjiri dunia dengan
produk-produk yang berteraskan cara hidup sosial masyarakat mereka. Produk yang
dimaksudkan adalah seperti filem, muzik,
nyayian, kartun dan komik. Produk-produk ini telah tersebar secara meluas ke seluruh
dunia. Fenomena globalisasi sosial yang tidak mampu dihalang ini adalah
berpunca daripada pengaruh Barat yang begitu berkuasa dalam mencorakkan
kehidupan manusia. Fenomena globalisasi sosial ini telah banyak mempengaruhi
kehidupan masyarakat antarabangsa terutamanya remaja.
Atas
nama keterbukaan dan hak asasi manusia, produk-produk dari Barat ini memaparkan
banyak perkara negatif yang sememangnya bertentangan dengan budaya masyarakat
Timur dan Islam pastinya. Parti liar, seks bebas, arak, rokok dan banyak lagi
merupakan antara perkara-perkara negatif yang sering dipaparkan dalam
produk-produk mereka. Secara tidak lansung, budaya hiburan dan cara hidup
masyarakat barat turut dipromosikan. Jika tidak diberi perhatian yang serius,
hal ini mampu menjejaskan nilai-nilai ketamadunan masyarakat dan sekali gus
meruntuhkan moral dalam kalangan masyarakat.
Keadaan
ini sebenarnya berlaku akibat promosi secara besar-besaran nilai dan cara hidup
masyarakat Barat oleh media-media utama mereka. Seperti yang kita sedia maklum,
media-media Barat begitu berpengaruh dalam menyampaikan sesuatu perkara.
Gergasi media Barat khususnya daripada Amerika Syarikat seperti CNN, telah menyesuaikan diri dengan
tuntutan dan suasana dalam masyarakat Islam dan Asia di mana mereka beroperasi.
Dengan adanya bantuan media, maka tidak mustahil globalisasi sosial masyarakat
Barat begitu mendunia.