Pages

Wednesday 22 August 2012

TITAS- HUBUNGAN TAMADUN DENGAN KEBUDAYAAN (PISMP SEM1)


Pengenalan

              Sukar untuk menentukan takrif yang tepat tentang tamadun sama ada dari perspektif barat ataupun Islam. Hal yang demikian kerana perkara ini berpunca dari kesukaran memilih istilah yang tepat bagi mengungkapkan konsep tamadun itu sendiri.sebagai contoh tamadun  Islam memberi pelbagai gambaran dan definisi bagi tamadun seperti konsep – madaniyyah- umran-hadarah-tamaddun manakala Barat pula mengemukakan takrif seperti - civilization-kebendaan- material.
             Pelbagai terminologi yang pernah digunakan berkaitan dengan pengertian tamadun. Hal ini boleh dilihat melalui penggunaannya dalam bahasa-bahasa berikut seperti Bahasa Inggeris dimana pelbagai terminologi yang pernah digunakan dalam Bahasa Inggeris berkaitan dengan pengertian tamadun seperti culture, renaissance, enlightment dan civilization. Bahasa Arab juga sama seperti Bahasa Inggeris, pelbagai terminologi yang pernah digunakan dalam Bahasa Arab berkaitan dengan pengertian tamadun. Antaranya ialah al-‘umran, al-bunyan, ath-thaqafah, al-hadharah, al-madaniyyah dan at-tamaddun.Dalam Bahasa Melayu pula antara terminologi yang pernah digunakan dalam Bahasa Melayu berkaitan dengan pengertian tamadun ialah kebudayaan, peradaban, tamadun dan madani.
            Apabila lahir terminologi al-tamaddun dalam bahasa Arab, maka lahirlah terjemahannya dalam Bahasa Inggeris iaitu civilization. Bahasa Melayu meminjam terminologi Arab menjadi tamadun dengan pengguguran satu ‘d’ terminologi yang terakhir inilah yang popular dan dominan penggunaannya dalam bahasa Arab, Inggeris dan Melayu pada masa kini. Menjelang tahun 1990-an, bahasa Melayu mula menggunakan terminologi baharu iaitu “madani” sebagai tambahan kepada terminologi “tamadun”. Ia juga merupakan pinjaman daripada terminologi Arab iaitu al-madaniah yang diperkenalkan oleh al-Farabi dalam abad ke-11 Masihi yang lalu seperti mana yang terdapat dalam kitabnya As Siyasah al-Madaniyah.


Hubungan Tamadun dengan Kebudayaan
Istilah tamadun juga dapat dihubungkan dengan istilah kebudayaan. Namun begitu, antara tamadun dengan budaya wujud jurang pengertian yang berbeza terutamanya dari segi jangka hayat, iaitu tamadun mempunyai jangka hayat yang panjang dan berkekalan manakala budaya mempunyai jangka hayat yang pendek dan sentiasa mengalami perubahan  dan pembaharuan. Unsur-unsur kebudayaan yang berkekalan hayatnya akan dianggap sebagai unsur-unsur tamadun.

            Kebudayaan mengandungi beberapa unsur yang bersifat sejagat atau universal, iaitu yang terkandung dalam semua kebudayaan di dunia ini. Antara unsur-unsur bersifat sejagat ini ialah pertama, peralatan dan kelengkapan keperluan kehidupan manusia termasuklah pakaian, perlindungan (rumah), peralatan senjata, alat-alat pengeluaran dan sebagainya. Kedua, system perekonomian dan mata pencarian kehidupan. Ketiga, system kemasyarakatan, sistem keluarga, organisasi politik dan sebagainya. Keempat, bahasa sebagai alat komunikasi sama ada bahasa secara lisan ataupun melalui sistem tulisan dan kelima, sistem ilmu pengetahuan. 

Terdapat sekumpulan sarjana sains kemasyarakatan, antaranya pengikut aliran Max Weber, yang membahagikan kebudayaan kepada dua kategori iaitu pertama, kebudayaan berbentuk kerohanian dan kedua, kebudayaan berbentuk kebendaan. Kategori kedua, kebudayaan berbentuk kebendaan inilah yang dinamakan civilization yang bermakna tamadun atau peradaban.

            Berdasarkan ketamadunan Islam, kebudayaan Islam diertikan sebagai suatu cara kehidupan, cara berfikir dan cara berasa ketakwaan dalam seluruh bidang kehidupan sekelompok manusia yang membentuk kesatuan sosial dalam satu ruang dan waktu. Pembentukan kebudayaan Islam ini tunduk kepada peraturan yang telah ditentukan melalui sumber-sumber asas perundangan Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis. Sekiranya berlaku sebarang pertentangan antara kebudayaan denan Islam, maka ia dianggap sebagai kebudayaan bukan Islam.

            Sarjana Islam tersohor seperti Ibn Khaldun telah mengatakan bahawa kemuncak pembangunan yang berkait dengan peningkatan kemewahan,keindahan suasana dan minat kepada pelbagai aspek industri.popular dengan istilah umran-hadarah. Selain itu ilmuwan Islam yang lain iaitu Rasyid Ridha pula menyatakan bahawa agama asas tamadun dengan unsur spiritual sebagai tonggak. Selain itu, Sayyid Qutb pula menyatakan bahawa kemajuan berteraskan syariat Allah SWT serta bercirikan nilai moral Islam dan Abu Nasir Al-Farabi-( 350 Hijrah) telah memperkenalkan istilah al-Madaniyah dalam abad ke-11 Masihi dalam kitabnya as-Siyasah al-Madaniyah. Terminologi ini diambil daripada akar kata Madinah iaitu negara Islam pertama yang diasaskan oleh Rasulullah s.a.w. Madaniyah yang digambarkan oleh al-Farabi ialah pencapaian umat Islam di kota yang berasaskan wahyu iaitu akidah, syariat dan akhlak.

Menurut pandangan sarjana barat pula seperti Darcy Riberio dalam bukunya The Civilization Process berpendapat bahawa tamadun mempunyai kaitan yang rapat sekali dengan perbandaran. Clive Bell dalam bukunya Civilization and Old Finds menjelaskan bahawa tamadun merupakan satu kriteria masyarakat. Hal ini bererti bahawa tamadun merupakan kata ukur yang dapat menyukat atau menentukan tahap pencapaian sesuatu tamadun. Selain itu, Karl Wittfogel dalam bukunya Approaches to Asian Civilization mendefinisikan tamadun sebagai ciri kebudayaan secara keseluruhan daripada sesuatu negara. Toynbee pula menyatakan sistem masyarakat yang dapat membantu manusia menambah hasil pengeluaran atau produktiviti dan mempunyai empat elemen, ekonomi,politik,pengetahuan dan seni.

Takrifan yang diberikan oleh sarjana Islam lebih tepat dan menyeluruh daripada sarjana barat. Ini kerana sarjana barat kurang menekankan unsur keagamaan sebagai asas dan sumber pembinaan sesuatu tamadun. Sarjana Islam menjadikan unsur agama sebagai asas dan sumber utama dalam pembinaan dan pencapaian sesuatu tamadun. Sesungguhnya tamadun Islam itu paling istimewa, mengatasi dan dibezakan daripada tamadun yang lain dalam dua faktor iaitu sumbernya (al-Quran dan as-Sunnah) dan asasnya (akidah, syariat dan akhlak). Dunia telah dikuasai oleh tamadun Islam selama lebih dari sepuluh abad, mulai abad ke-7 hingga ke-18M. Ia merupakan tamadun yang paling seimbang dalam sejarah manusia, seimbang di antara kemajuan kemajuan kerohanian dengan kemajuan kebendaan.



1 comment: