Pages

Wednesday 22 August 2012

TITAS- HAGEMONI BARAT



   Konsep Hagemoni Barat
  
 Dominasi Politik
 Dewasa ini, masyarakat Asia dan Islam khususnya berdepan dengan cabaran hegemoni politik Barat. Walaupun kuasa penjajah terutamanya Barat telah lama meninggalkan tanah jajahan masing-masing, dan memberikan penduduk tempatan peluang untuk membentuk struktur pemerintahan mengikut acuan tempatan, keinginan untuk terus mendominasi masih lagi tidak pudar. Struktur pentadbiran politik sesebuah negara akan dijadikan sasaran utama untuk meneruskan dominasi mereka. Oleh itu tidak hairanlah jika pada hari ini terdapat beberapa pemimpin yang mengetuai pentadbiran nasional akan mengambil keputusan yang melebihkan Barat walaupun bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat tempatan. Hal ini demikian kerana, Barat akan cuba menampilkan pemimpin yang boleh dijadikan boneka mereka sebagai pemimpin utama di sesebuah negara yang ingin dikuasai. Dengan adanya ‘orang dalam’, maka survival dominasi politik mereka akan menjadi lebih mudah. Pastinya, segala keputusan pemimpin tempatan adalah berdasarkan kepentingan Barat di negara tersebut.
Selain menguasai struktur pentadbiran  di peringkat tempatan, dunia Barat juga akan mendominasi pertubuhan-pertubuhan antarabangsa di peringkat dunia. Contohnya, badan antarabangsa paling berpengaruh diperingkat dunia, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan dominasi beberapa kuasa Barat yang utama seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis. Bersama-sama dengan Rusia dan China, ketiga-tiga negara ini diberikan kuasa istimewa yang juga dikenali kuasa veto. Berdasarkan kepada kuasa yang ditetapkan, kelima-lima negara ini berhak untuk menolak sebarang resolusi yang dicadangkan oleh negara-negara anggota. Pemberian kuasa ekslusif kepada negara-negara yang berkenaan membuktikan dominasi kuasa Barat yang menguasai badan dunia terbabit. Kesannya, beberapa keputusan yang diusulkan dan yang telah diluluskan dilihat mempunyai kepentingan kepada negara-negara ini.

Walaupun menurut kuasa yang diperuntukkan, iaitu untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di negara-negara, beberapa keputusan yang dibuat oleh negara-negara veto terutamanya negara Barat dilihat membelakangkan objektif dan matlamat  badan dunia itu ditubuhkan. Buktinya  hampir semua persengketaan wilayah dan antarabangsa sama ada di Somalia, Bosnia-Herzegovina, Palestin, Kashmir, Iraq, Afghanistan dan lain-lain melibatkan secara lansung kuasa Barat, Amerika Syarikat terutamanya, dengan menggambarkan diri mereka sebagai ‘polis dunia’. Realitinya, kedudukan Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa politik global adalah disebabakan oleh kekuatan militari dan ketenteraan. 

Dominasi Ekonomi
            Semasa zaman kolonial, penjajah Barat telah mengaut segala sumber, khazanah dan kekayaan tanah jajahannya. Hakikatnya, keadaan ini masih lagi berlarutan walaupun dengan cara dominasi yang berlainan. Syarikat-syarikat multinasional dari Barat seperti Amerika Syarikat, Britain, dan negara-negara Eropah  telah mendominasi kegiatan perdagangan antarabangsa. Syarikat-syarikat berkenaan telah mendominasi penggunaan sains dan teknologi sesebuah negara. Tidak cukup sekadar itu, sistem kewangan antarabangsa pula dikawal oleh sejumlah kecil syarikat-syarikat kewangan gergasi, sekumpulan bank, pedagang-pedagang mata wang dan juga pengurus-pengurus dana pelaburan spekulatif antarabangsa, yang secara tidak lansung meneruskan dominasi dunia Barat ke atas bangsa-bangsa manusia yang lain. (Osman Bakar, 2009)
            Disamping itu, pola dominasi ekonomi yang sedemikian disokong oleh sejumlah pertubuhan-pertubuhan kewangan global yang sekali gus memudahkan dominasi ekonomi oleh Barat. Antara contoh institusi-institusi dunia yang terlibat ialah International Monetary Fund (IMF), Bank Dunia, Worl Trade Organization (WTO) dan kumpulan G8. Kesemua institusi ini akan bertindak untuk mencorakkan bentuk ekonomi yang akan memastikan kepentingan mereka dalam aspek ini akan terpelihara. Contoh paling ketara yang menunjukkan  dominasi barat ialah apabila negara miskin yang meminjam daripada Bank Dunia atau IMF akan berada di bawah telunjuk atau pengaruh negara kapitalis tersebut . Masyarakat manusia di negara-negara membangun dan mundur tidak lebih sekadar memenuhi keperluan sumber tenaga manusia untuk mencapai kepentingan mereka. Pada masa yang sama, sumber-sumber semula jadi di negara-negara tersebut akan dimonopoli tanpa disedari. Keadaan seperti ini merupakan suatu bentuk penjajahan baru yang terselindung di sebalik gagasan perdagangan bebas.
            Kesan dariapada dominasi yang kian menjadi-jadi ini ialah sumber semula tidak dapat dieksploitasi sepenuhnya oleh negara sendiri disebabkan oleh kekangan teknologi dan kepakaran. Lantaran itu, bantuan daripada negara maju terutamanya negara Barat yang mempunyai kewangan, pakar dan alatan pastinya diperlukan. Akibatnya, negara-negara Barat dapat menguasai kekayaan semula jadi sesubuah negara seperti petroleum, bijih timah, dan macam-macam lagi.

  Dominasi Media
            Ledakan teknologi maklumat dewasa ini bukan lagi perkara yang baru. Segala maklumat dari seluruh dunia dapat diakses walau di ceruk manapun seseorang itu berada. Kini segalanya di hujung jari dan sekali gus mewujudkan istilah globalisasi. Proses globalisasi ini sebenarnya telah berjaya mengecilkan dunia kerana maklumat tentang peristiwa-peristiwa yang terjadi di seluruh dunia  mudah diperoleh dan tersebar dengan cepat. (Azhar Mad Aros, 2001). Namun begitu, proses globalisasi ini dilihat lebih memihak kepada dunia Barat yang sekali gus akan mengancam nilai-nilai sesebuah negara terutamanya bagi masyarakat Timur dan Asia.
Dominasi media oleh Barat sebenarnya bermula dengan pemaparan berita antarabangsa teknologi komunikasi dan maklumat yang dikuasai mereka. Mutakhir ini, media cetak dan media elektronik yang semakin berpengaruh dikuasai oleh sekumpulan syarikat-syarikat gergasi yang berpusat di Amerika Syarikat. Keadaan ini tentunya memerlukan pemerhatian oleh masyarakat Timur dan Islam khususnya, kerana penyebaran nilai-nilai yang negatif melalui media Barat dapat menjadi barah dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana keupayaan media boleh memanipulasi sesuatu perkara sehinggakan menjadi sesuatu yang tidak benar menjadi benar.

Contoh paling ketara sudah tentu melibatkan siri pengeboman dan letupan yang berlaku di seluruh dunia. Paling menyakitkan, media barat secara terus-menerus memomokkan mayarakat antarabangsa mengenai kaitan keganasan yang berlaku dengan umat Islam. Hakikatnya peranan media barat yang begitu berpengaruh sehingga telah berjaya mewujudkan fobia yang dikenali sebagai Islamfobia. Walaupun tanpa bukti yang kukuh dan lengkap, umat Islam sewenang-wenangnya ditangkap tanpa sebarang perbicaraan. Media barat yang dikuasai oleh golongan yang berkepentingan telah menanamkan kebencian terhadap orang Islam tanpa mengendahkan punca sebenar kejadian pengeboman berani mati seperti pembunuhan rakyat Paletin oleh rejim zionis setiap hari.  Demikian juga pengeboman yang dilakukan keatas rakyat Afghanistan dan Iraq oleh tentera Amerika Syarikat dianggap korban yang terpaksa ditanggung atas nama hak asasi dan demokrasi.

  Dominasi Sosial
Dekad kebelakangan ini, dunia Barat terutamanya Barat telah membanjiri dunia dengan produk-produk yang berteraskan cara hidup sosial masyarakat mereka. Produk yang dimaksudkan adalah seperti filem,  muzik, nyayian, kartun dan komik. Produk-produk ini telah tersebar secara meluas ke seluruh dunia. Fenomena globalisasi sosial yang tidak mampu dihalang ini adalah berpunca daripada pengaruh Barat yang begitu berkuasa dalam mencorakkan kehidupan manusia. Fenomena globalisasi sosial ini telah banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat antarabangsa terutamanya remaja.
Atas nama keterbukaan dan hak asasi manusia, produk-produk dari Barat ini memaparkan banyak perkara negatif yang sememangnya bertentangan dengan budaya masyarakat Timur dan Islam pastinya. Parti liar, seks bebas, arak, rokok dan banyak lagi merupakan antara perkara-perkara negatif yang sering dipaparkan dalam produk-produk mereka. Secara tidak lansung, budaya hiburan dan cara hidup masyarakat barat turut dipromosikan. Jika tidak diberi perhatian yang serius, hal ini mampu menjejaskan nilai-nilai ketamadunan masyarakat dan sekali gus meruntuhkan moral dalam kalangan masyarakat.
Keadaan ini sebenarnya berlaku akibat promosi secara besar-besaran nilai dan cara hidup masyarakat Barat oleh media-media utama mereka. Seperti yang kita sedia maklum, media-media Barat begitu berpengaruh dalam menyampaikan sesuatu perkara. Gergasi media Barat khususnya daripada Amerika Syarikat  seperti CNN, telah menyesuaikan diri dengan tuntutan dan suasana dalam masyarakat Islam dan Asia di mana mereka beroperasi. Dengan adanya bantuan media, maka tidak mustahil globalisasi sosial masyarakat Barat begitu mendunia.


No comments:

Post a Comment