Pages

Wednesday 11 May 2011

PRINSIP-PRINSIP LATIHAN KECERGASAN


Kecergasan jasmani bukan satu perkara yang sedia wujud atau berlaku secara semulajadi selari dengan proses kematangan seseorang. Tahap kecergasan boleh dibina melalui latihan jasmani. Latihan kecergasan merupakan aktiviti fizikal yang dilakukan berulang-ulang untuk meningkatkan kecergasan seseorang kepada tahap tertentu supaya berupaya menyempurnakan tugas-tugasnya.
Latihan yang dirancang secara sistematik dengan jadual yang teratur dan berdasarkan prinsip-prinsip latihan akan memberi faedah dan kesan latihan kepada pelakunya. Jika latihan dilakukan sesuka hati dan tidak mematuhi prinsip-prinsip latihan, kesan-kesan negative boleh berlaku kepada tubuh badan dari segi jasmani dan fisiologi, termasuk kecederaan akibat salah amalan. Terdapat 5 prinsip latihan kecergasan yang perlu diketahui terutama sekali bagi seseorang pemain atau atlet.
1. Prinsip Perbezaan Individu:
Perancangan latihan hendaklah mengambil kira bahawa setiap individu adalah unik dan mempunyai sifat-sifat tersendiri dari segi kebolehan yang ditentukan oleh genetic, kematangan fizikal dan mental, tahap kecergasan jasmani yang sedia ada, amalan pemakanan dan gaya hidup. Oleh itu bagi seseorang jurulatih kecergasan, perkara ini perlu diambil kira sebelum memberi latihan yang sesuai kepada seseorang atlet/pemain.

2. Prinsip Tambah Beban (Overload)
Beban latihan yang lebih lagi perlu ditambah semasa latihan dari semasa ke semasa supaya keupayaan badan semakin meningkat. Penambahan beban boleh dilakukan dengan menyesuaikan intensiti latihan, kekerapan latihan dan jangka masa satu sesi latihan. Latihan yang berterusan tanpa aplikasi prinsip tambah beban hanya dapat mengekalkan kecergasan yang sedia wujud dan tidak dapat meningkatkan kecergasan.
3. Prinsip Pengkhususan (Spesifisiti)
Aktiviti latihan yang dilalui oleh seseorang perlu dirancang supaya sesuai untuk keperluan kecergasan yang sebenarnya bagi jenis sukan yang diceburi. Keperluan seorang pelari pecut dan seorang pelari marathon serta pemain badminton adalah berbeza. Oleh itu, latihan yang mereka lakukan hendaklah berbeza dan khusus mengikut keperluan individu itu.
4. Prinsip Ansur Maju.
Latihan dan bebannya dari segi intensiti kekerapan dan jangka masa hendaklah ditingkatkan dengan cara beransur-ansur atau berperingkat-peringkat mengikut kemampuan atlet atau pemain.
5. Prinsip Kebolehbalikan (Reversibiliti)
Kesan atau kecergasan yang diperoleh melalui latihan hendaklah digunakan. Tahap kecergasan bukan perkara yang kekal. Jika seseorang yang cergas berhenti berlatih, tahap kecergasannya akan beransur hilang dan balik kepada keadaan yang asal.

No comments:

Post a Comment