Pages

Thursday 12 May 2011

Cabaran Lahirkan Daie Muda..

KESUCIAN dan kemuliaan dakwah yang ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW ketika hayatnya tidak boleh terhenti begitu sahaja tanpa pelapis baru dan muda. Ini kerana generasi manusia sentiasa bertukar ganti.
Generasi tua akan pergi menemui ilahi, maka tinggallah generasi muda yang memerlukan tunjuk ajar golongan ulama yang berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah.
Allah SWT menegaskan betapa pentingnya golongan pendakwah dalam memelihara agama Islam melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Sesungguhnya mereka yang bersifat sedemikian adalah golongan yang berjaya. (Ali-'Imran: 104)
Bagaimanapun, banyak cabaran yang perlu dilalui untuk melahirkan golongan muda sebagai pendakwah. Antaranya:
l Semangat menyemarakkan masjid, surau untuk solat berjemaah tidak dibudayakan dalam masyarakat kita.
Anak-anak muda lebih suka berseronok antara maghrib hingga ke larut malam di kedai-kedai kopi, kelab malam dan sebagainya semata-mata untuk menonton video percuma atau bersembang kosong berbanding datang ke masjid mendalami ilmu-ilmu agama yang disampaikan oleh para ustaz dan ustazah.
Sehubungan itu, ibu bapa perlu lebih peka terhadap mendisiplinkan anak-anak agar meminati institusi masjid dalam semua keadaan. Jika ini dapat dilaksanakan, nescaya apabila dewasa kelak golongan ini tidak kekok menjadi seorang bilal atau imam yang berdisiplin di samping melatih mereka menjadi ketua keluarga yang bertakwa kepada Allah SWT.
l Kebanyakan ibu bapa beranggapan seorang pendakwah tidak boleh mencari makan apatah lagi untuk menjadi popular seperti doktor, jurutera, artis, penyanyi, pelawak dan seumpamanya.
Sebenarnya mereka terlupa bahawa rezeki, kekayaan dan populariti kesemuanya adalah anugerah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesiapa yang bertakwa kepada Allah SWT, maka Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan Dia juga kan memberi rezeki daripada sumber yang tidak disangka oleh kamu. (al-Talaq: 2-3)
Jika diperhatikan, sehingga ke saat ini, tiada seorang pun pendakwah, hafiz al-Quran, imam dan bilal yang mati kebuluran kerana tidak cukup makanan dan sebagainya. Maka dengan itu, pemikiran seperti ini perlu dinyahkan daripada paradigma atau mentaliti masyarakat kita.
l Segala jenis program hiburan begitu bermaharajalela di hati masyarakat khususnya golongan muda. Mereka sanggup menghabiskan wang ringgit, masa dan sebagainya bagi memenuhi kehendak syahwat berhibur yang melalaikan sama ada di tempat-tempat hiburan atau sebagainya.
Maka tidak pelik seorang pemimpin penjajah telah berkata dengan angkuhnya: "Sesungguhnya segelas arak dan seorang pelacur amat berperanan dalam menghancurkan umat Muhammad lebih daripada apa yang dilakukan oleh seribu meriam". (Hasnan Kasan dalam bukunya Generasi Muda Islam & Cabaran Globalisasi m.s: 118)
l Pihak pentadbir masjid termasuk imam dan bilal berkemungkinan tidak memainkan peranan sewajarnya menarik golongan muda ke masjid selain mereka juga tidak mesra pelanggan atau sebagainya.
Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan juga kurang mendapat sambutan apabila penghebahan tidak dilakukan dengan sewajarnya. Ditambah tajuk-tajuk ceramah yang tidak menepati cita rasa semasa yang sepatutnya dibincangkan secara ilmiah dan akademik.
Justeru, bagi mengatasi masalah ini, ahli jawatankuasa masjid perlu lebih agresif memastikan program-program masjid dapat diminati oleh semua golongan khususnya golongan muda.
Di samping itu, segala jenis persengketaan perlu dielakkan kerana dengan perbuatan tersebut akan menyebabkan golongan muda tidak minat mendekati masjid di bawah pentadbiran yang bertelagah dan berpecah belah antara satu sama lain.
Memupuk sikap bersatu padu, bermusyawarah, saling hormat-menghormati antara jemaah dalam institusi masjid dan surau amat penting, demi memartabatkan syiar Islam di muka bumi ini.
Kesemua cabaran yang disebutkan tadi adalah perkara yang perlu diubah dan diperbaiki dalam kehidupan masyarakat di Malaysia. Jika ia masih berterusan, maka semestinya kekangan untuk melahirkan golongan pendakwah di kalangan generasi muda akan turut terganggu...waallahualam...^^'

No comments:

Post a Comment